Cari Maklumat Yang Berkaitan


Tuesday, 10 August 2010

Salam Ramadhan dari MAQ

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera kepada ahli-ahli MAQ,
RAMADHAN yang mulia menjelma lagi membawa bersamanya rahmat dan keberkatan
Illahi. Marilah kita mensyukurinya dengan mentaati segala perintah Allah,
memelihara puasa dan menghidupkan malamnya dengan pelbagai ibadah.
Untuk makluman semua, Kerajaan Qatar telah mengumumkan bahawa Ramadhan
akan bermula pada hari Rabu, 11 Ogos 2010.
Sabda Rasulullah S.A.W
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan
keredhaan Allah, maka Allah akan mengampuni segala dosanya yang
terdahulu". - Riwayat Bukhari.
Kami, Jawatankuasa MAQ telah merancang beberapa aktiviti sempena Ramadhan
tahun ini :
1. MAQ Umrah Awal Ramadhan (12 Ogos - 21 Ogos 2010)
Rombongan kita yang diketuai oleh Tuan Hj Mansor akan bertolak ke Madinah
dan seterusnya ke Mekah pada hari Khamis ini (12 Ogos). Seramai 38 peserta
termasuk kanak-kanak akan menjadi tetamu Allah pada kali ini. Marilah kita
semua doakan rombongan kita diberikan kesihatan yang baik dan selamat
dalam perjalanan pergi dan balik serta mendapat umrah yang mabrur,
InsyaAllah.

2. MAQ Bazar Ramadhan (Jumaat - 13 Ogos 2010)
Sekali lagi, bertempat di Hyatt Plaza, Bazaar Ramadhan ini bertujuna
mempromosikan masakan Malaysia dan barangan. Moga ianya dapat
membangkitkan suasana Ramadhan di Malaysia di samping berjumpa dan
berkenalan sesama kita.
3. MAQ Grand Iftar bersama MOI & Sheikh Thani Bin Abdullah
Foundation (Khamis - 19 Ogos 2010)
Program tahunan, dengan kerjasama Sheikh Thani Bin Abdullah
Foundation kali ini akan diadakan seperti tahun lalu, iaitu di Al-Arabi
Sports Club. MAQ merancang untuk membawa penceramah jemputan khas
dari Malaysia iaitu Tuan Haji Jamuliddin Elias (Timbalan Presiden Yayasan
Amal Malaysia) yang akan berkongsi pengalaman beliau dalam misi-misi
kemanusiaan serantau dan antarabangsa, khasnya Misi Flotilla - Mavi
Marmara ke Gaza baru-baru ini.
Pengumuman rasmi program MAQ Grand Iftar di atas akan disebarkan dalam
jangka masa terdekat.
Akhir kata, kami Jawatankuasa MAQ 2010/2011 ingin mengucapkan selamat
berpuasa kepada semua ahli-ahli MAQ beragama Islam dan semoga
segala amalan-amalan kita diterima Allah SWT.
Ramadhan Kareem!

Jawatankuasa MAQ 2010/2011
'Bringing Malaysians Together'

No comments:

Post a Comment