Cari Maklumat Yang Berkaitan


Tuesday, 14 December 2010

Rakyat Malaysia Di Qatar Berperanan Rapatkan Silaturrahim Kedua-dua Negara

DOHA, 14 Dis - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat Malaysia di Qatar supaya memainkan peranan penting untuk membantu kerajaan Malaysia merapatkan lagi silaturrahim dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Baginda bertitah ia berikutan Qatar adalah satu daripada rakan niaga utama Malaysia di rantau ini di mana kerajaan dan rakyat Malaysia mempunyai kepentingan dalam pelbagai bidang termasuk pembinaan infrastruktur, industri minyak dan gas serta pelancongan.

"Beta juga turut mengambil maklum dengan pelbagai peluang pelaburan yang diceburi oleh rakyat Malaysia di negara ini," titah Baginda pada majlis santapan bersama masyarakat Malaysia di The Diplomatic Club di sini Selasa.

Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berada di sini sempena lawatan empat hari ke Qatar yang berakhir Rabu.

Baginda turut melahirkan rasa bangga dengan komitmen dan sikap profesional yang ditunjukkan pelabur-pelabur Malaysia dalam memastikan pelbagai projek yang dilaksanakan dapat disiapkan dengan sempurna dan berkualiti.

Sehubungan itu baginda mengucapkan terima kasih atas usaha, sumbangan dan penglibatan semua rakyat Malaysia di Qatar dalam memartabat dan mengharumkan nama negara di persada dunia.

Terdahulu Seri Paduka Baginda melahirkan rasa sukacita kerana lawatan baginda ke negara itu berjalan lancar dan berkesan.

"Lawatan ini telah dapat memberikan gambaran yang jelas kepada beta bahawa negara ini mempunyai banyak potensi untuk bertambah maju pada masa hadapan.

"Justeru beta percaya adalah penting bagi kerajaan mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa dengan negara ini," titah baginda.

Baginda turut menasihatkan rakyat Malaysia yang bermastautin di Qatar supaya sentiasa menjaga nama baik dan imej Malaysia, serta terus menghormati adat resam dan cara hidup masyarakat tempatan dalam apa jua perkara yang dilakukan sepanjang berada di negara ini.

Seri Paduka Baginda bertitah hubungan baik dengan penduduk tempatan juga perlu dieratkan demi kemakmuran dan kepentingan rakyat kedua-dua negara.

"Beta dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah sentiasa berdoa semoga seluruh rakyat Malaysia yang bermastautin di negara ini akan dilimpahi dengan keberkatan rezeki, beroleh kejayaan dan kesejahteraan serta dijauhi dari sebarang malapetaka," titah Tuanku Mizan.

Sementara itu Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Qatar Mohamed Afandi Abu Bakar dalam ucapannya meminta semua rakyat Malaysia di Qatar dapat bersama-sama mengukuh dan meningkatkan imej Malaysia dalam pelbagai bidang khususnya industri minyak dan gas serta pelancongan.

"Bagi pihak kedutaan di sini, saya ingin mengingatkan agar kita semua di sini tidak sekali-kali melupakan tanah air yang dicintai dan sentiasa bersedia menyumbang kepada pembangunan Malaysia melalui kepakaran, kemahiran dan pengalaman yang dimiliki supaya 1Malaysia boleh direalisasikan," katanya.

Beliau juga berharap rakyat Malaysia yang bermastautin dan bekerja di Qatar dengan jumlah melebihi 2,500 orang ketika ini akan sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada usaha-usaha kedutaan untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment