KUALA LUMPUR, 12 Dis 2010 - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal
Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah akan mengadakan lawatan
negara kali pertama ke Qatar selama empat hari mulai Ahad.
Sempena lawatan negara itu, Yang di-Pertuan Agong dijadual mengadakan pertemuan
dengan Amir Qatar Sheikh Hamad Khalifa Al-Thani.
Program lawatan itu termasuklah menghadiri majlis Jamuan Negara serta lawatan ke
tempat-tempat menarik di negara tersebut seperti Muzium Kesenian Islam, Pearl
Qatar dan Yayasan Qatar.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar hari ini, baginda berdua
juga akan mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di sana.
Seramai 2,500 rakyat Malaysia berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Qatar.
Lawatan baginda berdua ke Qatar melambangkan keakraban dan kemesraan yang wujud
dalam hubungan di antara kedua-dua buah negara, selain meningkatkan lagi tahap
perhubungan sedia ada yang terjalin erat serta memantapkan lagi persefahaman
yang wujud di antara Malaysia dan Qatar.
Baginda berdua akan diiringi Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek
selaku menteri pengiring serta beberapa pegawai kanan kerajaan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment